LONDON – Arsenal berjaya mengekalkan kelebihan di takhta Liga Perdana Inggeris selepas meraih kejayaan 2-0 menewaskan Brentford di Emirates awal pagi semalam.
Kemenangan itu pastinya menggembirakan para peminat The Gunners, namun perasaan sebaliknya buat pengurus pasukan, Mikel Arteta selepas menyaksikan senarai pemainnya yang mengalami kecederaan makin bertambah.
Sebelum perlawanan itu bermula, Arteta telah kehilangan dua pemain bek tengahnya utamanya, William Saliba dan Gabriel Magalhaes, namun aksi menentang Brentford menyaksikan Declan Rice dan Christian Mosquera memasuki senarai ke bilik rawatan.
“Sudah pasti ia tidak pernah menjadi berita baik, Declan terpaksa dibawa keluar dan kita akan menilai keadaannya. Declan boleh berjaya tetapi dia tidak boleh bermain.
“Masalahnya dia bermain banyak perlawanan,” kata Arteta yang turut hilang khidmat Kai Havertz dan Leandro Trossard selepas kedua-dua pemain itu turut dipalit masalah kecederaan.
Pada aksi tersebut, Arsenal kekal dengan rekod 18 perlawanan tanpa kalah dan mengesahkan kemenangan hasil jaringan daripada Mikel Merino dan Bukayo Saka sekali gus menyaksikan The Gunners kekal di puncak liga dengan 33 mata.
“Pemain lain agak positif walaupun kami terpaksa mengharungi detik sukar selepas ini. Kami perlu melakukan beberapa perubahan,” kata Arteta merujuk aksi dengan Aston Villa selepas ini. – AGENSI














