PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh antara yang terkesan dengan pemergian Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang kembali ke rahmatullah awal pagi tadi.
Menurut Dr. Muhamad Akmal, Allahyarham Bung Moktar bukan sahaja seorang pemimpin disegani, malah sahabat yang banyak mengajarnya makna perjuangan politik dan kesetiaan sebenar.
“Pemergianmu sangat dirasai. Baik dari kawan mahupun lawan. Terlalu banyak kisah antara kita berdua yang mengajar saya erti sebenar perjuangan dan kesetiaan dalam persahabatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau juga menyifatkan Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu seorang yang sentiasa positif setiap waktu dan murah dengan senyuman.
“Walaupun kita tahu dugaan yang besar sedang beliau hadapi. Moga Allah tempatkan arwah datuk bung di kalangan kekasih Allah
“Datuk seri panglima bung Moktar bin Radin kamu akan sentiasa berada di dalam setiap doa kami. Al Fatihah,” ujarnya.
Terdahulu, Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada pukul 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu di Sabah.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Bung Moktar telah dimasukkan ke hospital tengah hari semalam dan difahamkan Allahyarham mengalami kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan paru-paru. – KOSMO! ONLINE














