PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif bagi membincangkan beberapa isu berkaitan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Anwar menerusi satu hantaran di laman media sosial turut memaklumkan Malaysia turut mengikuti rapat perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan yang dilihat semakin mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan serantau.
“Mengenai perkembangan di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan, saya menyatakan kebimbangan Malaysia terhadap kestabilan rantau tersebut dan berharap agar semua pihak dapat mencari penyelesaian secara aman,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan Malaysia berharap semua pihak dapat mencari jalan penyelesaian secara aman melalui meja rundingan dan saluran diplomasi bagi mengelakkan ketegangan berpanjangan yang boleh menjejaskan keselamatan rantau berkenaan.
Terdahulu, rundingan damai antara Afghanistan dengan Pakistan di Turkiye gagal, kerana kerajaan Pakistan didakwa menggunakan pendekatan tidak bertanggungjawab semasa berunding.
Wakil kedua-dua negara bertemu di Istanbul untuk cuba memuktamadkan gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Oktober di Qatar, susulan pertempuran paling dahsyat antara dua negara jiran itu sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada 2021.- KOSMO! ONLINE.














