SEBERANG PERAI – Seramai 14 warga Jepun dan empat warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dalam talian, bulan lalu.
Tertuduh, Chen Zigui, 30; Liang Chengfu, 37; Hama Takuya, 35; Tustsui Shoichi, 42; Kono Kiyoshi, 51; Yamao Yuta, 27; Kishi Kosuke, 26; Ryo Nomita, 34; Chen Yien, 34; Ohak Koki, 35; Motokawa Yuya, 30; Takumi Nakano, 26 dan Matsumoto Satoshi, 44.
Lagi tertuduh ialah Inanobe Yuya, 24; Lin Ping, 42; Hashimoto Takuya, 34; Minamihata Naoto, 37 dan Yuina Miki, 25.
Kesemua mereka membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersekongkol menjalankan aktiviti penipuan dalam talian yang bertentangan dengan Seksyen 420 Kanun Keseksaan di sebuah rumah di Taman Bukit Juru, Bukit Tengah, antara pukul 12 hingga 12.10 tengah hari, 20 November lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh serta penyerahan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam, A. Mahesh yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan lebih rendah atas alasan mereka perlu menyara keluarga di negara asal selain berpendapatan rendah.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan, selain pasport diserahkan kepada mahkamah. Kes ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 3 Februari depan.
Kesemua tertuduh, yang bekerja sebagai tukang cuci, pemandu, pekerja kedai makan dan tukang cat telahpun membayar wang jaminan tersebut, tengah hari tadi.
Pada 28 November lalu, media melaporkan polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket ‘phone scam’ yang menyasarkan mangsa di Jepun selepas menahan 18 individu dalam serbuan di dua banglo di kawasan Simpang Ampat pada 20 November.
Kesemua suspek mengaku bekerja sebagai operator pusat panggilan sejak tiga bulan lalu dengan menerima gaji antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan. -KOSMO! ONLINE














