fbpx
Gambar hiasan.

Tempoh menunggu lebih singkat di pusat rehabilitasi Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menyasarkan tempoh menunggu lebih singkat bagi pencarum yang mahu mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, tempoh menunggu untuk menerima rawatan di pusat rehabilitasi Perkeso disasarkan dalam satu bulan berbanding sekitar tiga bulan ketika ini.

Jelas beliau, sasaran tempoh menunggu yang lebih singkat itu mampu dicapai melalui pembinaan lebih banyak pusat rehabilitasi Perkeso di seluruh negara.

“Dulu kita hanya ada sebuah pusat rehabilitasi, tetapi dengan adanya pusat rehabilitasi di Ipoh yang telah dibuka Julai tahun ini, kita jangka tempoh menunggu dapat diturunkan kepada satu bulan.

“Kita akan cuba sedaya upaya memastikan dari tiga kepada satu bulan dengan adanya pusat rehabilitasi yang akan ditubuhkan di Terengganu dan Pulau Pinang,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Haji Ismail Abd. Muttalib berhubung tempoh menunggu yang lama untuk pesakit mendapat rawatan di pusat rehabilitasi Perkeso dan keperluan menambah pusat rawatan tersebut.

Terdahulu, Steven Sim berkata, selain pusat rehabilitasi Perkeso, golongan pekerja boleh juga mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi satelit dan panel pusat rehabilitasi Perkeso di seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pekerja tidak mahu mendapatkan rawatan di panel kerana pusat rehabilitasi Perkeso dilengkapi dengan teknologi yang lebih canggih dan pakar.

Menjawab soalan asal Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), beliau berkata, pusat rehabilitasi Perkeso mampu menampung permintaan sekiranya skim Lindung 24 jam 7 seminggu Perkeso dilaksanakan.

Kata beliau, kapasiti petugas di Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka dan Perak hampir 500, manakala jangkaan petugas di Pusat Rehabilitasi Perkeso di Terengganu dan Pulau Pinang seramai 465.

“Bilangan pesakit maksimun boleh diterima di pusat rehabilitasi Perkeso seramai 1,630 pesakit dengan masing-masing 500 pesakit di Pusat Rehabilitasi Perkeso Melaka, 800 pesakit di Pusat Rehabilitasi Perkeso Perak dan 330 pesakit di Pusat Rehabilitasi Perkeso Wilayah Pantai Timur.

“Perkeso juga mempunyai empat pusat satelit rehabilitasi di Shah Alam, Tanjung Pelepas, Kuala Terengganu dan Kuala Lumpur serta 261 buah panel pusat rehab Perkeso di seluruh negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI