HULU SELANGOR – Seorang penghantar barang melalui detik cemas apabila diugut dengan sepucuk pistol oleh individu tidak dikenali di persimpangan lampu isyarat berhampiran Perodua Sungai Choh, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.06 petang daripada mangsa berusia 28 tahun.
“Ketika kejadian, pengadu sedang memandu sebuah van dari Bukit Sentosa menuju ke Kuala Lumpur sebelum didatangi seorang lelaki yang mendakwa pengadu cuba melanggarnya. Suspek yang tidak berpuas hati kemudian bertindak mengeluarkan satu objek menyerupai sepucuk pistol dan mengugut pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 54 tahun di Jalan Cempaka, Bukit Sentosa.
Menurut Ibrahim, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian iaitu sehelai jaket hitam, satu hos pistol warna hitam bertulis ‘Micro’, satu surat kebenaran membawa dan menggunakan senjata serta peluru dan lain-lain barangan.
“Semakan rekod mendapati suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mempunyai satu rekod lampau membabitkan jenayah, namun keputusan ujian air kencing adalah negatif. Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini hingga lusa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ibrahim mengingatkan semua pengawal keselamatan atau mana-mana individu yang diberi kebenaran membawa senjata api supaya mematuhi peraturan ditetapkan.
“Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menunjukkan sebarang senjata api kepada orang awam sehingga menimbulkan ketakutan dan kegusaran,” tegas beliau. – KOSMO! ONLINE














