KUALA LUMPUR – Vokalis Wings, Datuk Awie sudah berlapang dada dengan pengunduran dua anggota kumpulan tersebut iaitu Eddie dan Black beberapa hari sebelum ulang tahun Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi yang berlangsung baru-baru ini.
Menurut Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 57, perpecahan yang berlaku dalam sebuah kumpulan adalah perkara biasa terjadi di seluruh dunia.
“Perpecahan kumpulan berlaku di seluruh dunia. Tak ada satu band pun yang orangnya tersusun sampai mati.
“Jadi ini biasa dan tak perlu digusarkan dan tiada apa yang perlu digusarkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert, di sini.
Tambahnya lagi, dia sentiasa mendoakan kesejahteraan Black dan Eddie yang pernah susah dan senang bersama Wings selepas keduanya memilih meninggalkan kumpulan tersebut.
“Sepatutnya saya tak perlu beritahu apa doa saya. Saya sentiasa doakan mereka berjaya dunia akhirat, sihat tubuh badan, rezeki melimpah.
“Orang tak perlu tahu doa saya sebenarnya, tapi hari ini saya bagi tahu. Setiap sujud saya, mereka dalam doa saya,” katanya lagi.
Awie turut mengulas tentang ucapannya mengenaj rangkaian lagu popular mereka kepada beberapa individu yang didakwa meninggalkan perjuangan serta mengkhianati perjalanan kumpulan rock legenda itu.
Ucapan penuh kiasan itu disampaikan Awie pada segmen terakhir konsert anjuran Rumah Produksi Merah (RPM) yang berlangsung di Idea Live Arena, PJ.
“Tak ada apa-apa. Sebenarnya itu senarai lagu saja. Kebetulan, senarai lagu dalam Wings tu ada lagu sebegitu kan. Jadi, saya cuma meluahkan sedikit rasa hati yang melalui lagu-lagu itu.
“Kebetulan, lillahi Taala saya tidak menyusun. Bila kita susun senarai lagu tu kan, tiba-tiba eh… macam kena je. Ha itu je, tak ada apa-apa. Tak ada lebih daripada itu, katanya.
Terdahulu Eddie yang merupakan pemain bass dan Black (dram) mengumumkan secara rasmi meninggalkan Wings pada 8 Oktober 2025. – KOSMO! ONLINE














