fbpx
TIERNEY

SUKAN SEA: Skuad B-23 kempunan khidmat Tierney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD Bawah 23 Tahun (B-23) negara bakal berdepan kesukaran apabila penyerang Sabah, Fergus Tierney sah tidak dapat sertai pasukan bagi menghadapi saingan Sukan SEA.

Pengesahan itu dibuat sendiri oleh Pengurus Besar Sabah, Mohd. Joh Wid dan keputusan untuk mengekalkan Tierney dalam kem The Rhinos dibuat selepas berbincang dengan jurulatih pasukan, Jean-Paul de Marigny.

“Cadangan kami (pengurusan) adalah supaya Tierney dilepaskan untuk satu perlawanan iaitu berdepan Laos dan selepas itu dia kembali bersama kelab. Namun, jurulatih tetap mahu Tierney bersama pasukan dan fokus kepada aksi final (Piala FA).

“Bagi urusan final ini beliau (jurulatih) sudah maklumkan awal bahawa jika Sabah ke final, Tierney tidak akan dilepaskan. Ia bukan tanggungjawab saya sebab kami sudah meletakkan kepada ketua jurulatih satu sasaran.

“Jadi, itu salah satu apa yang jurulatih mahu dan oleh kerana ini adalah komitmen beliau, maka saya tidak mahu masuk campur soal keputusannya. Bagi kami, pasukan negara dan kelab kedua-duanya penting, tetapi apa pun dia (jurulatih) pun ada sasaran sendiri dan kami menghormai keputusannya,” katanya.

Berdasarkan ketetapan, temasya Sukan SEA dilangsungkan di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan kelab memiliki hak untuk tidak melepaskan pemain sekali gus menyukarkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain bagi menyediakan skuad terbaik.

Namun, Nafuzi mahu ambil pendekatan positif untuk menyediakan ‘ramuan’ sokongan sekiranya tidak dapat menurunkan skuad terbaik bagi memastikan keputusan positif ke atas Laos.

“Siapa pun yang saya ada, saya percaya siapa pun yang diberi peluang bermain akan berikan cabaran untuk raih kemenangan pada perlawanan pertama. Tiga mata cukup penting, walaupun ada kekurangan, fokus kita adalah untuk siap sedia sehabis baik,” kata Nafuzi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN