PORT DICKSON – Pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-13 bukan sekadar menjadi pasukan pengaman terakhir yang menamatkan penyertaan bersejarah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam misi Pasukan Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), bahkan bertanggungjawab melatih askar Lubnan.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar berkata, ia merupakan salah satu tanggungjawab pasukan dalam melatih Angkatan Tentera Lubnan (LAF), sementara ATM menyerahkan kawasan-kawasan dan juga tugas di Lubnan yang telah dilaksanakan sejak 2007.
“Pihak ATM juga akan meninggalkan sebahagian daripada item kapital untuk dihadiahkan kepada Lubnan, selain akan mengosongkan kem di Tibnin dan Harris serta berkumpul ke Kem Marakah.
“Kami sedang meneliti aset apa yang wajar ditinggalkan dan memandangkan banyak briged baru yang baharu ditubuhkan di kawasan tersebut, kita akan melatih mereka untuk interaksi di antara dua kekuatan serta peralatan yang mungkin kita tinggalkan untuk memudahkan mereka mengendali dan memahami apa yang sepatutnya,” katanya selepas menyempurnakan Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Pembubaran Malbatt 850-12 di Padang Kawad, Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini hari ini.
Beliau berkata, Malbatt 850-13 berkekuatan 532 pegawai dan anggota sahaja dan ATM menunggu maklumat terperinci daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jun 2026 bagi tindakan selanjutnya.
“Setakat ini, perancangan sebagaimana yang telah dimaklum, UNIFIL akan berundur pada Disember 2026. Kita tunggu Jun nanti sekiranya mungkin kelompok kecil akan tinggal untuk membawa balik baki-baki yang ada di sana,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keputusan untuk menghantar pasukan pengaman ke Gaza di bawah mandat PBB, buat masa ini pihaknya masih belum menerima arahan rasmi berhubung misi berkenaan.
“Setakat ini, secara bukan bertulis, informal telah dimaklumkan misi itu akan diteruskan tetapi kita belum menerima apa-apa lagi. Namun, kita telah menyediakan pilihan satu, pilihan dua untuk bentuk tugas yang akan diatur gerak ke Gaza nanti termasuklah logistik, kejuruteraan dan perubatan.
“Kami telah bersiap sedia untuk diatur gerak, hanya menunggu makluman PBB, opsyen mana yang telah dipilih, akan dipilih untuk penugasan ketumbukan Malaysia nanti,” katanya. – KOSMO! ONLINE














