KUALA TERENGGANU – Padah mengintai dan merakam seorang wanita menggunakan telefon bimbit di tandas sebuah pusat membeli-belah, di sini pada dua minggu lalu, seorang penganggur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh, Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan merakam mangsa menggunakan telefon bimbit sewaktu mangsa berada di dalam tandas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Muhammad Syahmi di dalam tandas wanita yang terletak di tingkat satu sebuah pusat membeli-belah di sini pada pukul 6.12 petang, 20 November lalu dan kes mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan – KOSMO! ONLINE














