PORT DICKSON – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengulangi pendirian akan membantu siasatan membabitkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar menegaskan, semua pihak terutamanya ibu bapa untuk tidak takut untuk menghantar anak mereka menyertai pasukan tentera, dan menekankan tiada kekurangan dalam prosedur operasi standard (SOP) setiap latihan yang dijalankan.
“Sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini oleh Menteri Pertahanan (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), pihak ATM akan membantu sebaik mungkin dengan telus untuk siasatan yang akan dilaksanakan.
“Setakat ini tidak ada kekurangan daripada SOP latihan yang telah dilaksanakan dari pelaporan, latihan seharian, SOP keseluruhannya, cuma kita menunggu siasatan tersebut dan kita akan memberi kerjasama sebaik-baiknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














