fbpx
Nur Hazirah bersama ibu bapanya ketika Majlis Konvokesyen UPM ke- 49, Serdang hari ini.

‘Dalam kelas saya satu-satunya pelajar OKU penglihatan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERDANG – Kekurangan diri bukan halangan bagi graduan yang dilahirkan buta sejak lahir bagi menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu (Kepujian) di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Biarpun dilahirkan pramatang dengan masalah ‘retinal detachment’ pada kedua-dua belah mata, Nur Hazirah Rusli, 24, membesar tanpa penglihatan, namun tetap memperkasakan Bahasa Melayu menggunakan tulisan Braille.

Kesungguhan luar biasa dalam mempelajari tulisan Braille, dua minggu sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), membuka jalannya ke alam universiti.
“Dalam kelas, saya satu-satunya pelajar OKU penglihatan. Saya perlu dapatkan bahan awal daripada pensyarah, kemudian menyalin sendiri nota kuliah ke dalam Braille dengan bantuan rakan-rakan. Ada tugasan yang mengambil masa untuk saya siapkan.

“Bahasa Melayu kaya dengan istilah, warna makna dan kehalusan yang membolehkan seseorang menzahirkan fikiran dengan begitu indah. Dari situlah lahir impian saya untuk menjadi guru dan kemudian berkembang kepada cita-cita untuk menjadi penyunting dan penterjemah bahan ke dalam tulisan Braille,” katanya di Majlis Konvokesyen UPM ke-49 hari ini.

Anak bongsu daripada lima adik-beradik itu mengakui cabaran akademik di UPM, datang silih berganti, terutama apabila terpaksa meneruskan pengajian secara dalam talian semasa pandemik Covid-19.

Nur Hazirah mengaku hampir berputus asa, namun ibu bapanya menjadi tunjang untuk terus bertahan selain UPM turut memainkan peranan penting dengan menyediakan sokongan bersesuaian, termasuk kemudahan komputer riba Braille.

“Ibu bapa saya selalu yakin terhadap saya, walaupun saya tidak dapat melihat. Keyakinan mereka menjadi sebahagian daripada kekuatan saya. Saya mahu buktikan bahawa kekurangan penglihatan bukan alasan untuk tidak berjaya,” ujarnya.

Nur Hazirah kini berhasrat menceburi bidang penyuntingan, dalam menterjemah dan menyunting artikel serta berita ke dalam tulisan Braille agar lebih banyak kandungan berkualiti dapat dinikmati oleh masyarakat OKU penglihatan.

Pegangan bapanya diambil sepanjang meniti perjalanan akademik sebagai sokongan untuk terus kuat.

“Bapa selalu pesan, ‘Kita mesti teruskan, walau patah sayap, namun tetap kudaki.’ Bagi saya, seorang buta sekalipun mampu ‘melihat’ dunia melalui bahasa,” katanya.  – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI