fbpx
ASMIDAR (baju merah) sedia beraksi sebagai Cik Siti Wan Kembang sepanjang tiga malam di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya bermula 19 Disember ini.

Asmidar jelmaan Cik Siti Wan Kembang versi muzikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH kita terbayang tentang kebijaksanaan dan keluhuran cinta raja wanita hebat di negeri yang terkenal dengan jolokan Kijang Emas?

Mengangkat kisah epik pemerintah wanita Cik Siti Wan Kembang sekitar abad ke-17, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) akan mementaskan teater muzikal Paduka Cik Siti pada 19 Disember ini.

Pengarahnya, Kamarulzaman Taib atau Che Kem berkata, kisah menggabungkan sejarah bersulam tema keberanian, kasih sayang dan pengorbanan tersebut menggandingkan penyanyi, Asmidar Ahmad bersama aktres berpengalaman, Dr. Norzizi Zulkifli sebagai Seri Banun.

“Asmidar memiliki suara emas yang tebal tradisi dan dikenali sebagai penyanyi irama Melayu yang diperlukan bagi watak ikonik itu, selain berpengalaman dalam muzikal P. Ramlee, Puteri Gunung Ledang, Dendam Laksamana dan Mek Mulong.

“Watak Cik Siti Wan Kembang perlukan pelakon yang anggun, matang dan memiliki kebijaksanaan bertepatan kriteria dimilikinya serta mempunyai kemahiran bersilat.

“Karakter Seri Banun sebagai bonda kepada Cik Siti Wan Kembang juga memperlihatkan kelebihan Norzizi sebagai aktres versatil,” katanya.

Pelakon lain yang turut memperkuatkan persembahan Paduka Cik Siti termasuklah, Taqim Zaki sebagai Panglima Merah iaitu lelaki yang sentiasa di sisi Cik Siti Wan Kembang selain Syukor Ibrahim Bachik dan Sharul Mizad.

Kongsinya, muzikal terbabit dipersembahkan dalam semangat dan rupa kontemporari, namun masih mengekalkan keunggulan seni budaya melalui pelbagai elemen seperti muzik, tarian dan lakonan.

“Gabungan pelbagai unsur tradisional seperti makyung dan wayang kulit dengan teknologi kreatif serta seni reka produksi yang dominan menjanjikan gabungan elemen tradisional, sekali gus menjanjikan persembahan spektakular.

“Muzik kontemporari kekal dengan roh tradisional disulam dengan gaya lakon dan tari, semestinya muzikal ini boleh memenuhi selera khalayak muda dan dewasa,” ujarnya.

Gabungan mantap

Ujarnya lagi, gabungan tenaga kreatif daripada generasi Aswara sejak graduan pertama hingga mutakhir yang tinggi kredibiliti menjanjikan kemantapan persembahan.

“Pengarah Muzik kami Suflan Faidzal Arshad juga komposer berpengalaman luas dalam seni persembahan tradisional dan moden termasuk menghasilkan lagu Badarsila nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza,” tambahnya.

Teater muzikal Paduka Cik Siti akan dibuka dengan Malam Gala di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya pada 19 Disember, pukul 8.30 malam, disusuli tiga lagi pementasan pada 20 dan 21 Disember ini. Tiket berharga antara RM40 hingga RM150 boleh ditempah menerusi laman web cloudjoi.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN