PETALING JAYA – Seramai 20 mangsa banjir di Kampung Dusun Nanding, Hulu Langat diselamatkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor selepas kawasan tersebut dinaiki air pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.14 pagi dan seramai tujuh anggota serta tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussien Onn dikejarkan ke lokasi tersebut.
“Banjir berkedalaman 0.3 meter dan seramai 20 mangsa dikeluarkan menggunakan lori ke kawasan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Hulu Langat dibuka pagi tadi bagi menempatkan mangsa yang terjejas ekoran hujan lebat berterusan. PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Dusun Nanding dibuka pukul 10.20 pagi, manakala PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Serai pada pukul 10.30 pagi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan beberapa kawasan di Hulu Langat dilanda banjir kilat awal pagi tadi ekoran hujan lebat berterusab sejak pukul 2 pagi. Antara kawasan terjejas adalah Batu 20, Nanding, Dusun Tua, Sungai Lui dan Batu 18.
Beberapa rumah penduduk dan laluan utama turut dinaiki air secara mendadak. – KOSMO! ONLINE














