fbpx
Gambar hiasan.

Pindaan akta perlindungan sosial perlu ada garis panduan jelas – FMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) menyifatkan pindaan terhadap Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh landskap perlindungan sosial.

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pengenalan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), yang memberi perlindungan 24 jam kepada lebih 9.6 juta pekerja termasuk pekerja asing, merupakan satu reformasi besar.

Menurut beliau, reformasi ini adalah bertepatan bagi menutup jurang lama dalam sistem perlindungan sosial, dengan syarat ia dilaksanakan secara telus, mampan dan dengan panduan operasi yang jelas untuk majikan.

“FMM menyokong reformasi itu, namun menekankan kepentingan mekanisme caruman yang telus dan berkemampuan untuk kumpulan berpendapatan rendah.

“Ini kerana pembiayaan mampan adalah penting untuk kelangsungan jangka panjang skim tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berhubung pindaan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), FMM mengalu-alukan pengukuhan faedah termasuk Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) yang lebih tinggi, peningkatan had yuran latihan, penambahbaikan elaun latihan dan peningkatan Elaun Bantuan Mobiliti.

Katanya, langkah ini selari dengan pengukuhan Dasar Pasaran Buruh Aktif (ALMP) Malaysia selain meningkatkan kemahiran dan padanan pekerjaan dengan lebih berkesan.

Jelasnya, penambahbaikan faedah mesti disertai dengan pengurusan kewangan berhemat, semakan penggunaan secara berkala dan libat urus berterusan dengan majikan bagi memastikan kemampanan dana jangka panjang.

“Namun, terdapat kebimbangan mengenai cadangan Bahagian VIa baharu dalam Akta 800, yang mana keperluan untuk memaklumkan kekosongan jawatan adalah tanggungjawab pentadbiran.

“FMM berpendapat bahawa ia tidak seharusnya dikenakan denda bersifat punitif, sebaliknya, pematuhan harus disokong melalui langkah berasaskan sekatan atau pentadbiran, seperti yang diamalkan di negara lain dengan sistem pasaran buruh aktif yang matang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak kementerian untuk mempertimbangkan semula pengenaan penalti kewangan dan sebaliknya meneroka mekanisme pematuhan tidak punitif.

“Perlu ada penjelasan lanjut mengenai pelaksanaan praktikal, khususnya berkaitan keperluan pengambilan pekerja yang sulit atau mendesak, pertindihan dengan sistem pengambilan sedia ada majikan dan implikasi terhadap perniagaan yang mempunyai kitaran pengambilan berskala besar.

“Apabila reformasi ini bergerak ke fasa pelaksanaan, adalah penting untuk mempunyai garis panduan yang jelas dan praktikal serta mekanisme pelaksanaan berfasa, jika diperlukan, bagi memastikan pematuhan yang lancar dan berkesan oleh majikan merentas industri,” katanya.

Dalam pada itu, Thian Lai berkata, kedua-dua pindaan RUU ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh perlindungan pekerja dan meningkatkan daya tahan pasaran buruh Malaysia.

Dewan Rakyat semalam meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perlindungan pekerja yang antara lain memperkenalkan Skim Lindung 24/7 termasuk Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, pelaksanaan skim itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI