BANDAR RAYA KUWAIT – Seorang penjawat awam di Kuwait didenda 312,000 dinar Kuwait (RM4.1 juta) selepas tidak datang bekerja, namun mengambil gaji selama sedekad, lapor laman berita MailOnline semalam.
Dokumen mahkamah mendedahkan bahawa pekerja yang tidak dinamakan tersebut bekerja di jabatan perkhidmatan tetapi tidak melaksanakan sebarang tugasnya selama 10 tahun.
Gajinya bagaimanapun terus dimasukkan ke akaun banknya setiap bulan.
Apabila ketiadaan pekerja itu disedari, pihak berkuasa membuka kes jenayah terhadapnya atas kesalahan pendapatan haram dan penyalahgunaan dana awam.
Dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan diperintahkan memulangkan dua kali ganda jumlah gaji yang diterimanya, iaitu sebanyak 312,000 dinar Kuwait.
Menurut akhbar Arab Al Qabas, keputusan itu adalah antara yang paling tegas dikeluarkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan dibuat ketika Kuwait sedang giat memerangi penipuan gaji serta rasuah pentadbiran. – AGENSI














