BERLIN – Sebuah mahkamah di Jerman memutuskan bahawa seorang wanita beragama Islam tidak boleh berkhidmat sebagai hakim atau pendakwa raya sekiranya dia enggan membuka tudung semasa prosiding mahkamah, lapor laman berita Middle East Monitor semalam.
Ia merupakan satu keputusan yang dikritik sebagai melanggar kebebasan beragama, lapor agensi berita Anadolu.
Mahkamah pentadbiran di Hesse mengumumkan keputusannya kelmarin, mengekalkan keputusan pihak berkuasa untuk menolak permohonan peguam wanita tersebut.
Dalam satu kenyataan, mahkamah Darmstadt mengaku bahawa kebebasan beragama peguam tersebut mempunyai kepentingan perlembagaan yang besar.
Mahkamah itu bagaimanapun memutuskan bahawa hak tersebut diketepikan oleh prinsip perlembagaan lain termasuk prinsip keneutralan negara dan kebebasan beragama peserta perbicaraan.
Menurut kenyataan mahkamah, wanita itu telah ditanya semasa temu duga sama ada dia akan membuka tudung ketika berinteraksi dengan peserta perbicaraan.
Wanita berkenaan dengan jelas menyatakan bahawa dia tidak akan melakukannya.
Pihak berkuasa Hesse menolak permohonannya dengan alasan bahawa memakai pakaian yang membawa simbol keagamaan semasa prosiding kehakiman melanggar prinsip keneutralan negara dan boleh menjejaskan keyakinan umum terhadap sifat neutral sistem kehakiman. – AGENSI














