PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki malarang anaknya memohon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
Asyraf Wajdi berkata, beliau tidak akan membenarkan anaknya membuat permohonan memasuki MRSM selagi beliau memegang jawatan Pengerusi Mara.
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkongsi kisah menghantar anaknya, Azzam menduduki Ujian Kelayakan Tahfiz di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya.
Menurutnya, Azzam bercita-cita mengikuti jejak langkah abang dan kakaknya yang menghafaz al-Quran.
“Saya tahu jauh sudut hati Azzam minat juga nak masuk MRSM sebab pernah dia sebut yang kawan-kawan dia ramai minta MRSM.
“Namun, anak-anak semuanya sudah pasrah dengan pendirian Abi. Selagi Abi memegang amanah sebagai Pengerusi Mara, tiada siapa dalam kalangan anak-anak yang boleh mohon ke MRSM,” katanya, hari ini.
Asyraf Wajdi memohon orang ramai mendoakan Azzam berjaya dalam ujian kelayakan berkenaan dan mencapai impiannya untuk menyertai aliran tahfiz.
Beliau turut menzahirkan harapan semua anak-anaknya membesar sebagai individu yang memberi manfaat kepada ummah pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE














