fbpx
Migran yang ditahan oleh Jabatan Imigresen semasa Operasi Khas di sekitar KLIA

Imigresen tahan ‘carrier’ bawa masuk migran di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai bertindak sebagai ‘carrier’ (pembawa) bagi membawa masuk warga asing secara tidak teratur dalam satu operasi khas di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dekat sini, Isnin lepas.

Dalam operasi yang dijalankan sekitar pukul 6.40 petang itu, pihak berkuasa turut menahan seorang lelaki warga Saint Kitts and Nevis serta seorang wanita warga China yang disyaki migran tidak teratur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu melibatkan sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).

“Ketiga-tiga individu yang ditahan berusia antara 25 hingga 34 tahun. Jumlah keseluruhan tangkapan adalah seramai tiga orang,” katanya.

Hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-dua warga asing terbabit memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah bagi tempoh tertentu.

Pihak imigresen turut menyita beberapa barangan termasuk sebuah pasport China, pasport Saint Kitts and Nevis, pasport Malaysia, cap keselamatan imigresen, telefon bimbit serta wang tunai berjumlah RM23,100.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan menggunakan ‘carrier’ warga tempatan yang berperanan mengiringi migran ke kaunter pemeriksaan yang telah ditetapkan bagi memudahkan mereka melepasi kawalan imigresen.

“‘Carrier’ akan memberikan maklumat laluan dan lakaran kaunter pemeriksaan yang telah ‘disetkan’ terlebih dahulu. Gambar pakaian migran turut dihantar bagi memudahkan pengecaman oleh pihak tertentu di kaunter pemeriksaan,” katanya.

Lelaki tempatan itu disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966, manakala kedua-dua warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(a) Akta Imigresen 1959/63.

Kesemua mereka telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala beberapa individu tempatan lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN