KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membidas pembangkang yang didakwanya masih tidak berpuas hati dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat bekas Setiausaha Politik Kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.
Menurut Anwar, Shamsul Iskandar langsung tidak diberikan layanan istimewa, malah turut melalui proses tangkapan penuh termasuk digari serta memakai baju lokap oren seperti suspek lain.
“Cuba lihat… orang itu digari, pakai baju oren. Saya rasa banyak kes berat lain pun tak digari. Tidak puas hati lagi ke?
“Saya tidak tegur sepatah pun kepada SPRM. Mereka bebas siasat. Dia nak suruh apa lagi? Saya pun tidak pertahankan staf saya,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN–Masjid Tanah) yang mencadangkan kerajaan melaksanakan audit dalaman lebih tegas terhadap pegawai menteri.
Terdahulu pada Jumaat lalu, Shamsul Iskandar direman enam hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Shamsul sebelum ini meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri selepas mendakwa terdapat usaha menjadikan kontroversi tersebut sebagai senjata untuk menjatuhkan reputasinya dan mencalar imej kerajaan. – KOSMO! ONLINE














