KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 21 November lalu pulih sepenuhnya.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, satu-satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol di sini menutup operasi pada pukul 8 malam tadi.
“Seramai 31 mangsa daripada 20 keluarga yang menghuni PPS itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Sehubungan itu, semua PPS yang dibuka di Terengganu sebelum ini telah ditutup sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, kesemua lapan daerah di negeri ini terjejas banjir melibatkan lebih 10,000 mangsa. – KOSMO! ONLINE














