KUALA LUMPUR – “Tiada apa-apa dalam perjanjian itu yang menghalang kita daripada meneruskan kerjasama dengan China,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata demikian memberi jaminan berhubung Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang tidak menghalang daripada meneruskan kerjasama dengan China.
Anwar berkata, Malaysia juga sudah memberikan penjelasan berhubung perkara itu kepada China termasuk kepada Perdana Menteri Li Qiang mengenai ART tersebut.
“Mereka mahukan penjelasan dan kita sudah berikan. Saya tidak fikir kita perlu memperbesarkan perkara ini.
“China kekal sebagai rakan dagang yang sangat penting. Tiada apa-apa dalam perjanjian itu yang menghalang kita daripada meneruskan kerjasama dengan China,” katanya kepada media pada pelancaran kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, QV-E di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Anwar berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media sebelum ini berhubung kebimbangan serius disuarakan oleh Beijing terhadap bahagian tertentu dalam ART yang ditandatangani antara AS dan Malaysia serta Kemboja. – KOSMO! ONLINE














