PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan segera terhadap beberapa pegawai terlibat aktiviti songsang dengan memastikan mereka tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah kementerian hingga proses siasatan selesai.
KPM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil serius penglibatan beberapa pegawai yang terlibat aktiviti itu dan tidak berkompromi dengan perlakuan tidak bermoral berkenaan.
“Siasatan dalaman sedang berjalan.
“Tindakan segera diambil dengan memastikan pegawai terlibat tidak lagi berada di mana-mana institusi pendidikan bawah KPM hingga proses siasatan selesai,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPM turut mengingatkan semua ketua jabatan diingatkan untuk meningkatkan pemantauan dan
memastikan kegiatan tidak bermoral dibanteras di setiap peringkat.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kegiatan sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disyaki menjadi tempat lelaki songsang berkumpul terbongkar selepas serbuan dilakukan pihak berkuasa termasuk Bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Premis tiga tingkat itu menempatkan gimnasium di tingkat bawah, manakala tingkat atas dijadikan sauna, jakuzi dan sebuah ‘dark room’ khas untuk aktiviti tidak bermoral.
Dalam operasi itu, seramai 201 individu ditahan termasuk tujuh pekerja premis, dengan 24 daripadanya warga asing.
Lebih mengejutkan, seramai 17 penjawat awam turut ditahan dalam serbuan berkenaan, melibatkan pelbagai jawatan termasuk doktor pakar, guru, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik serta pegawai agensi penguatkuasaan. – KOSMO! ONLINE














