KUALA LUMPUR – Edisi kedua acara berbasikal Heritage Ride Taiping yang berlangsung semalam mencapai objektif disasarkan apabila berjaya menarik lebih 2,200 penyertaan.
Heritage Ride Taiping 2025 bukanlah sekadar acara berbasikal biasa apabila memberi peluang kepada peserta untuk menikmati keindahan serta keunikan bandar bersejarah itu.
Menerusi tiga kategori yang dipertandingkan, iaitu 90 kilometer (km), 60km serta kayuhan santai 20km, ia menjanjikan satu pengalaman tidak dapat dilupakan buat peserta.
Acara tersebut merupakan hasil anjuran bersama Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn. Bhd selain mendapat sokongan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
“Tahun lalu, penganjuran sulungnya adalah sempena ulang tahun ke-150 Taiping. Tahun ini, kita teruskan semangat itu dan menjadikan warisan sebagai momentum.
“Heritage Ride menyatukan masyarakat melalui sukan, sejarah dan kesihatan. Ia adalah bagi meraikan asal-usul kita selain membina komuniti yang lebih sihat dan kuat,” kata Kah Woh.
Menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, acara itu turut menawarkan 250 penyertaan percuma kepada pelajar berusia 7 hingga 17 tahun sebagai galakan kepada generasi muda.
Sementara itu, semua pemenang menerima pingat serta hadiah wang tunai sebagai tanda penghargaan atas pencapaian mereka pada acara tersebut. – KOSMO! ONLINE














