SEREMBAN – Enam penghuni dua buah rumah di Taman Bukit Berlian di sini, berdepan detik cemas selepas berlaku kejadian tanah runtuh di bahagian belakang kediaman mereka awal pagi tadi, memaksa pengungsian segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.55 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban tiba di lokasi pada jam 4.07 pagi.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Nohd Norazrul Fazri Ahmad, tanah runtuh yang berlaku di belakang rumah No. 6 dan No. 8 menimbulkan risiko ketidakstabilan dan berpotensi menyebabkan runtuhan susulan.
“Bagi memastikan keselamatan penghuni, pasukan bertindak melakukan pengungsian serta-merta. Kesemua enam mangsa berjaya keluar dari kediaman masing-masing dan berada dalam keadaan selamat,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, operasi dapat dikawal pada pukul 4.15 pagi, namun pemantauan di lokasi masih diteruskan memandangkan keadaan tanah yang belum stabil sepenuhnya.
Ujarnya, seramai 12 anggota dengan kekuatan unit jentera Fire Rescue Tender (FRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan Light Fire Rescue Tender (LFRT) terlibat dalam operasi melibatkan BBP Seremban dengan bantuan BBP Ampangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemantauan keselamatan dan penilaian risiko kawasan berkenaan sedang dilakukan bagi mengelakkan insiden berulang,” katanya.- KOSMO! ONLINE















