PORT DICKSON – Kira-kira 100 pokok pelbagai saiz menyembah bumi selain banyak premis terjejas di daerah ini ekoran Ribut Tropika Senyar semalam.
Difahamkan, antara lokasi yang teruk terjejas dilanda ribut berkenaan adalah di sekitar PD Waterfront, penempatan sekitar Lukut serta Bagan Pinang, selain beberapa buah sekolah termasuk Sekolah Tinggi Port Dickson yang mana pelajarnya sudah dibenarkan pulang seawal pukul 10.30 pagi tadi.
Menurut salah seorang penduduk, Sa Horng Yuean, 56, hujan mulai turun sejak pukul 2.30 petang semalam dan menghampiri tengah malam, angin yang hadir bersama bunyi kuat mulai melanda kawasan pantai peranginan.
“Saya dah duduk di daerah ni sejak tahun 2003, memang biasa ada kejadian angin dan banjir, namun kejadian kali ini benar-benar lain dari yang lain serta kemusnahan pun agak besar.
“Banyak papan tanda tumbang, pokok, bumbung rumah tercabut dan hujan lebat serta renyai-renyai masih lagi dialami dalam tempoh 24 jam di sini. Sana sini, saya dapat lihat cermin hotel pecah serta taman permainan musnah.
“Malah, banyak juga anggota penyelamat bertungkus lumus membersihkan pokok yang tumbang menghalang laluan di lihat sejak awal pagi tadi di sini,” katanya kepada Kosmo!, di sini, hari ini.-KOSMO! ONLINE















