fbpx
PARA pemain Arsenal meraikan kejayaan menewaskan Bayern sekali gus melonjak ke tangga teratas UCL. - ARSENAL FC

Arsenal kekal cemerlang di EPL, Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Arsenal bukan sahaja hebat dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi turut membuktikan mereka layak diangkat sebagai pilihan utama untuk menjuarai Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini.

Ia terbukti menerusi prestasi luar biasa Arsenal sepanjang musim ini termasuk kemenangan 3-1 ke atas seteru tradisi dari Jerman, Bayern Munich di Stadium Emirates awal pagi semalam.

Kemenangan itu menyaksikan The Gunners merampas tangga teratas carta liga UCL dan menjadi satu-satunya pasukan dengan rekod kemenangan 100 peratus daripada semua lima perlawanan.

Prestasi semasa Arsenal seakan menjadi amaran buat kesemua pencabar musim bahawa mereka bukan sahaja mengintai gelaran EPL tetapi turut menyasarkan kejuaraan UCL pertama dalam sejarah kelab itu.

Bagaimanapun, Declan Rice yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, tidak mahu dia dan rakan sepasukannya terleka dengan momentum semasa kerana menyifatkan perjalanan musim ini masih panjang.

“Banyak ‘bunyi’ sekarang ini terutamanya selepas apa yang kami lakukan dalam liga (EPL) dan UCL. Buat masa ini kami hanya fikirkan mengenai fasa peringkat liga (UCL) dahulu kerana apa sahaja boleh berlaku.

“Seperti musim lalu, Liverpool tamatkan (fasa liga) di tangga teratas tetapi selepas itu mereka tersingkir (tewas kepada Paris Saint-Germain). Jadi kami tidak mahu mengalami nasib sama seperti itu.

“Kami ambil satu demi satu perlawanan, kekal fokus dan bersedia menentang apa sahaja. Jika kami pada hari terbaik, kami boleh kalahkan sesiapa sahaja,” kata Rice.

Jurrien Timber menanduk masuk gol pertama Arsenal hasil sepakan penjuru Bukayo Saka pada minit ke-22 sebelum bintang muda berusia 17 tahun Bayern, Lennart Karl mengikat kedudukan 10 minit kemudian.

Memasuki babak kedua, segalanya menjadi milik skuad bimbingan Mikel Arteta itu apabila meraih gol kedua menerusi Noni Madueke (m-69) sebelum Gabriel Martinelli memanfaatkan kesilapan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer pada minit ke-77. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN