HANOI – Penduduk bersiap sedia untuk menghadapi satu lagi ribut kuat di Laut China Selatan ketika wilayah selatan-tengah Vietnam belum pulih daripada banjir paling dahsyat pernah melanda negara itu yang menyebabkan lebih 100 orang terkorban atau hilang.
Taufan Verbena berada Laut China Selatan pada 26 November lalu, dengan ahli-ahli kaji cuaca menjangkakan ia menjadi lebih kuat apabila merentasi perairan terbuka di tengah Laut China Selatan hari ini (27 November), lapor akhbar The Straits Times.
Ribut itu diramal beralih secara beransur-ansur ke arah barat dan perlahan selepas esok (28 November), sebelum menjadi lemah lewat minggu ini.
Pihak berkuasa memberi amaran bahawa Verbena boleh membawa satu lagi pusingan hujan lebat meluas bermula esok, menimbulkan kebimbangan bencana tanah runtuh dan banjir kilat di kawasan terjejas akibat banjir minggu lalu akan berulang.
Pasukan Wilayah Tentera 5 Vietnam mengadakan mesyuarat tergempar pada 25 November lalu untuk menyelaras usaha tindak balas ribut kuat.
Timbalan Komander dan Ketua Kakitangan, Kolonel Phan Dai Nghia mengarahkan unit-unit untuk menghentikan aktiviti kurang penting dan menyediakan pasukan serta peralatan untuk kerahan pantas.
Unit Pengawal Sempadan turut diarahkan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan keselamatan anak kapal dan kapal di laut, serta memaklumkan pemilik kapal tentang laluan Verbena.
Wilayah Tentera 5 juga telah menghantar tiga pasukan kerja ke Gia Lai, Dak Lak dan Khanh Hoa untuk menyokong langkah pencegahan banjir dan bersedia menghadapi ribut yang melanda daratan. Ia adalah tiga lokasi paling teruk terjejas akibat banjir sejak beberapa hari lalu.
Verbena merupakan ribut ke-15 yang terbentuk di Laut China Selatan pada tahun ini bersama lima lekukan tropika, menjadikannya tahun ribut kedua paling sibuk di rantau ini dalam tempoh tiga dekad. – AGENSI














