KUALA LUMPUR – Alunan muzik penuh emosi memenuhi segenap ruang Dewan Filharmonik Petronas (DFP), KLCC apabila The Purple Symphony, orkestra inklusif terbesar di Singapura, tampil dengan persembahan sulung yang bukan sekadar menghibur, malah menyentuh jiwa para penonton.
Dibawa khas oleh Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dengan kerjasama Temasek Foundation, konsert bertemakan The Symphony of Friendship ini menyaksikan gabungan luar biasa pemuzik pelbagai keupayaan, termasuk golongan orang kelainan upaya (OKU), yang bersatu atas satu bahasa sejagat iaitu muzik.
Lebih daripada sekadar konsert, persembahan ini mengangkat mesej kuat tentang inklusiviti, empati dan perpaduan merentas sempadan negara, sekali gus membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan antara hati dan kemanusiaan.
Kerjasama istimewa ini tercetus pada Julai tahun lalu apabila dua pemuzik The Purple Symphony membuat persembahan sempena lawatan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke Temasek Shophouse di Singapura — satu detik yang begitu menyentuh jiwa Seri Paduka Baginda.
Keindahan persembahan tersebut mendorong Seri Paduka Bagina menjemput orkestra berkenaan untuk membuat persembahan buat kali pertama di Permaisuri Zarith Sofiah Opera House pada 2023, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan seni dan kebudayaan antara Johor dan Singapura.
‘Setiap insan ada cahaya tersendiri’
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim berkata, misi yayasan bukan sekadar menganjurkan acara seni, tetapi membina kefahaman dan rasa kemanusiaan dalam masyarakat.
“Misi kami di Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor adalah untuk membina jambatan antara komuniti melalui pendidikan dan seni. Kami percaya setiap individu, tanpa mengira latar belakang atau keadaan, mempunyai potensi untuk menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan berkembang sebagai warganegara global.
“Kami amat terinspirasi oleh The Purple Symphony dan komitmen mereka terhadap inklusiviti. Ia mengingatkan kita bahawa muzik, seperti kehidupan, akan lebih harmoni apabila setiap orang diberi ruang dalam ensembel,” katanya.
Tambahnya, konsert ini diharap dapat menyemai rasa empati, saling menghormati dan persefahaman dalam kalangan masyarakat berbilang lapisan.
Simbol perjuangan inklusif serantau
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Temasek Foundation, Ng Boon Heong menyifatkan The Purple Symphony sebagai lambang semangat keterangkuman yang sebenar.
“The Purple Symphony adalah contoh nyata bahawa pemuzik dengan dan tanpa keupayaan khas boleh berdiri di pentas yang sama, disatukan oleh minat dan tujuan. Inilah wajah sebenar masyarakat inklusif yang kami impikan,” jelasnya.
Katanya lagi, usaha tersebut selari dengan matlamat Temasek Foundation untuk memperkasa komuniti dan mengukuhkan daya tahan sosial melalui seni.
Datuk Bandar Majlis Pembangunan Masyarakat Central Singapore merangkap Penasihat The Purple Symphony, Denise Phua pula menyifatkan konsert ini sebagai momen yang penuh makna, bukan sahaja buat pemuzik, malah penonton yang hadir.

“Sebagai orkestra inklusif terbesar di Singapura, pemuzik kami datang daripada pelbagai keupayaan dan latar hidup. Mereka mengingatkan kita bahawa muzik mampu menyatukan semua, tanpa mengira perbezaan.
“Konsert ini meraikan perpaduan, inklusiviti dan keyakinan bahawa setiap individu mampu bersinar apabila diberikan peluang,” ujarnya.
Lebih daripada hiburan
Konsert The Symphony of Friendship bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya sebuah naratif tentang harapan, keberanian dan keindahan kepelbagaian.
Tepukan gemuruh yang bergema di dalam dewan malam itu menjadi bukti bahawa seni masih menjadi bahasa paling ampuh dalam menyentuh nurani masyarakat.
Di sebalik setiap not yang dimainkan, terselit kisah perjuangan, semangat dan impian — menjadikan malam itu bukan hanya dikenang sebagai konsert, tetapi sebagai simbol persahabatan dan kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE















