PETALING JAYA – Syarikat infrastruktur logistik pintar, Ally Logistic Property (Malaysia) Sdn. Bhd. (ALP) menerima satu pengiktirafan berprestij apabila dinobat sebagai pemenang anugerah Supply Chain Innovator of the Year bagi kategori gudang pintar.
Anugerah itu diterima di majlis anugerah Supply Chain Asia Awards 2025 yang berlangsung di Singapura baru-baru ini.
Malah, anugerah tersebut melambangkan pengiktirafan industri terhadap rangkaian OMEGA Smart Logistics Infrastructure yang dibina oleh ALP dan kini beroperasi di Taiwan, Malaysia, Thailand dan Singapura.
Rangkaian OMEGA ini menggabungkan automasi canggih dengan reka bentuk bangunan yang dioptimumkan untuk operasi intensif serta model perkhidmatan berasaskan penyediaan infrastruktur atau Infrastructure-as-a-Service (IaaS) yang memberikan fleksibiliti lebih besar kepada syarikat pelanggan.
Pendekatan ini ditawarkan kepada sektor barangan pengguna bergerak pantas, farmaseutikal, peruncitan berbilang saluran dan logistik suhu terkawal yang memerlukan keupayaan berkembang pantas tanpa beban kos permulaan yang tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama ALP, Charlie Chang, menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian yang mencerminkan komitmen ALP dalam memacu inovasi dan memperbaharui operasi logistik moden dalam negara dan rantau ini.
“Kami amat berbesar hati menerima anugerah ini.
“Ia menjadi satu motivasi yang mengukuhkan lagi komitmen kami untuk mentransformasi industri melalui inovasi berterusan, integrasi teknologi dan pendekatan yang menekankan kelestarian,” katanya.
Tambahnya, prinsip meraka, ‘Perubahan untuk Kebaikan’ sentiasa menjadi panduan dalam setiap projek yang dibangunkan.

Dalam pada itu, ALP menegaskan bahawa rangkaian OMEGA bukan sahaja meningkatkan kelancaran operasi tetapi turut membantu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar melalui penggunaan teknologi dan sistem pengurusan tenaga yang lebih cekap.
Peningkatan keupayaan ini amat penting dalam memenuhi permintaan pasaran yang semakin kompleks dan berubah dengan pantas.
Ketua Pegawai Operasi ALP bagi Asia Tenggara, Keren Liu, turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan tersebut.
“Kami sangat menghargai dedikasi pasukan kami, rakan strategik dan pelanggan yang terus mempercayai visi dan kebolehan kami.
“Usaha bersama ini akan terus mendorong kami dalam membentuk generasi baharu penyelesaian logistik yang lebih terhubung, lebih bijak dan lebih mampan,” jelasnya.
Pengiktirafan yang diterima oleh ALP di Supply Chain Asia Awards 2025 ini mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai salah satu organisasi yang memacu perubahan besar dalam sektor logistik di benua Asia.
Ketika industri tersebut semakin memberi tumpuan kepada automasi, kecekapan tenaga dan struktur operasi yang lebih fleksibel untuk menghadapi cabaran global masa hadapan. – KOSMO! ONLINE















