fbpx
Ariffin pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wasiyyah lancar fintech hibah generasi baharu, pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah), syarikat amanah patuh syariah digital terbesar di Malaysia, memperkenalkan teknologi hibah fintech generasi baharu yang bakal merevolusikan industri pewarisan harta Islam serta memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju inovasi digital dalam sektor ini.

Presiden Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, teknologi terbaharu ini dibangunkan berasaskan kejayaan Wasiyyah pada tahun 2023, apabila syarikat tersebut mencipta sejarah sebagai entiti pertama di dunia yang melaksanakan akad hibah digital sepenuhnya tanpa kertas melalui aplikasi mudah alih UsraHDD.

Akad hibah digital tanpa kertas pertama di dunia ini (UsraHDD) telah terbukti berkesan dan mendapat sambutan baik masyarakat dengan lebih 7,000 orang telah menggunakannya sejak pelancarannya sehingga hari ini.

UsraHDD menghimpunkan pemberi hibah, penerima hibah dan saksi dalam satu sesi akad hibah secara digital pada masa sebenar (realtime), membo­lehkan mereka menyempurnakan akad tersebut dari mana-mana lokasi di seluruh dunia.

“Teknologi yang kami per­kenalkan hari ini adalah satu lonjakan besar dalam industri. Ia membolehkan hibah dilaksanakan dengan lebih cepat, selamat serta patuh syariah dan undang-undang,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada peringkat awal, kaedah hibah fintech ini hanya melibatkan harta alih seperti wang simpanan, dan pelaksanaannya adalah secara perniagaan-keperniagaan (B2B).

Bagaimanapun jelas Ariffin, penyelidikan lanjutan sedang dijalankan untuk meluaskan skopnya kepada jenis harta lain pada fasa seterusnya.

“Versi aplikasi mudah alih lengkap untuk kegunaan orang ramai dijangka dilancarkan pada April 2026.

“Bagaimanapun, kami telah memulakan pelaksanaan fasa pertama melalui kerjasama strategik dengan beberapa organisasi yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Pendekatan berfasa ini memastikan teknologi tersebut diuji, ditambah baik dan dioptimumkan sepenuhnya sebelum dibuka kepada semua pengguna di Malaysia,” jelasnya.

Menerusi platform teknologi baharu ini, pemberi hibah akan dapat melaksanakan akad hibah harta mereka secara digital kepada Wasiyyah sebagai penerima hibah pada bila-bila masa, 24 jam sehari, 365 hari setahun.

Tambah beliau, Wasiyyah akan mengurus dan meng­agihkan harta tersebut kepada pihak yang ditetapkan oleh pemberi hibah, selaras dengan arahan yang diberikan.

“Komitmen kami jelas, iaitu untuk terus memacu transformasi digital dalam urusan hibah dan pewarisan harta Islam di Malaysia,” ujarnya.

Syarikat menjangkakan sambutan terhadap teknologi ini akan lebih baik, khususnya daripada golongan muda yang celik teknologi kerana ia adalah aplikasi mesra pengguna, yang mana pemberi hibah boleh melaksanakan akad pada bila-bila masa.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN