MUNICH – Aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) antara Arsenal dan Bayern Munich di Stadium Emirates awal pagi esok dijangka menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia.
Apa tidaknya, perlawanan itu bukan sahaja mempertemukan dua pasukan yang dianggap paling konsisten di Eropah ketika ini, malah turut menjadi aksi penentu siapa yang bakal menerajui carta UCL.
Bagi penyerang Bayern, Harry Kane, dia percaya Arsenal memiliki kelebihan lebih besar berbanding pasukannya kerana bermain di laman sendiri selain bijak menggunakan peluang ketika situasi bola mati.
“Memang saya jangka satu perlawanan yang sangat sukar dan mencabar untuk kami. Kami perlu berwaspada dengan set-piece mereka kerana gol-gol Arsenal kerap kali terhasil daripada situasi bola mati.
“Bagaimanapun, kami pergi ke sana bukan untuk menanggung kekalahan, tetapi mahu membuatkan mereka ‘derita’. Ini merupakan satu lagi aksi Liga Juara-Juara Eropah, jadi sasaran kami adalah untuk catat kemenangan,” katanya.
Sementara itu, aksi menentang Arsenal membawa makna lebih besar buat Kane kerana pernah menyarung jersi Tottenham Hotspur yang dianggap sebagai musuh ketat buat pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
“Stadium Emirates merupakan satu venue yang sudah menjadi kebiasaan untuk saya. Selepas lama beraksi untuk Tottenham, setiap perlawanan menentang Arsenal dianggap sangat penting tetapi saya tidak mahu terlalu emosi,” ujarnya. – AGENSI















