PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) membuka siasatan berhubung dakwaan tular di TikTok kononnya pasport palsu berjaya melepasi pemeriksaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedang meneliti dakwaan berkenaan dari pelbagai aspek bagi memastikan kesahihan maklumat yang tersebar itu.
“Setakat ini JIM belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai isu tersebut. Kami sedang mengesan pemilik akaun TikTok yang memuat naik dakwaan itu. Tidak mustahil petugas syarikat penerbangan yang kelihatan dalam video tersebut turut dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Zakaria berkata, JIM memandang serius penyebaran dakwaan yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat, lebih-lebih lagi membabitkan aspek keselamatan pintu masuk negara.
Beliau turut menggesa individu atau pihak yang memiliki maklumat tambahan agar menyalurkannya kepada JIM bagi melancarkan siasatan.
Terdahulu, tular satu video menunjukkan seorang anggota keselamatan syarikat penerbangan membuat semakan pasport milik warga asing.
Selepas beberapa minit pemeriksaan, individu itu didakwa dibenarkan menaiki pesawat, sekali gus menimbulkan persoalan warganet mengenai ketulenan dokumen perjalanan tersebut. – KOSMO! ONLINE















