IPOH – Mangsa banjir di Perak terus mencatat trend peningkatan dengan 5,424 individu merangkumi 1,686 keluarga terjejas dan mendapat perlindungan di 44 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, Manjung menjadi daerah paling ramai mangsa iaitu 1,983 penduduk melibatkan 588 keluarga dengan mereka ditempatkan di 16 buah PPS.
“Ia diikuti Perak Tengah yang mempunyai 1,384 orang mangsa daripada 401 keluarga dan mereka kini berlindung di sepuluh buah PPS. Seterusnya ialah Hilir Perak yang mempunyai 926 mangsa (302 keluarga) yang ditempatkan di tujuh PPS.
“Daerah berikutnya ialah Bagan Datuk yang mempunyai 788 orang mangsa melibatkan 274 keluarga, dengan mereka berteduh di empat buah PPS disediakan. Muallim pula mempunyai 96 mangsa (25 keluarga) yang ditempatkan di dua PPS,” katanya di sini hari ini.
Katanya, Larut, Matang dan Selama pula menempatkan 180 penduduk dari 58 keluarga di tiga PPS yang dibuka, sementara Batang Padang mempunyai sebuah PPS beroperasi yang didiami tiga mangsa dari sebuah keluarga.
Tambah beliau, Kuala Kangsar merekodkan 64 mangsa daripada 37 keluarga dengan satu PPS masih beroperasi. – KOSMO! ONLINE














