IPOH – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan ditangguhkan walaupun situasi bencana banjir yang melibatkan lapan negeri iaitu Selangor, Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Terengganu dan Pahang semakin kritikal.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melakukan persediaan rapi bagi menghadapi bencana alam itu bagi setiap pelajar yang terjejas supaya dapat menghadapi peperiksaan SPM dengan tenang.
“Sememangnya setiap tahun kita menghadapi isu banjir sebegini dan sejak lama telah pun membuat persediaan secukupnya untuk memastikan pelaksanaan SPM ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
“Seperti isu yang sama juga bangkit pada tahun lepas dan sudah membuktikan bahawa kita mampu untuk memastikan anak-anak kita hadir ke peperiksaan SPM dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak KPM yakin dengan SOP, pekeliling dan Ops Payung yang diaktifkan sekiranya berlaku bencana banjir memastikan peperiksaan SPM berjalan dengan lancar.
“Kita sekali lagi menyeru supaya mana-mana calon ataupun keluarga calon yang terkesan (bencana banjir) menghubungi pihak sekolah ataupun Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
“Pihak sekolah dan JPN akan mengaturkan logistik yang sepatutnya, sewajarnya kepada calon-calon tersebut untuk memastikan calon tersebut dapat hadir ke sekolah ataupun pusat peperiksaan untuk mengambil peperiksaan SPM seperti yang dijadualkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE















