GEORGE TOWN – Penasihat Hartanah bagi Petronas, Datuk Seri Maimunah Mohd. Sharif dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perancangan Bandar dan Wilayah pada Upacara Konvokesyen Ke-63 Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Penganugerahan itu disampaikan oleh Canselor Raja Perlis,Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
Maimunah yang juga bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, penganugerahan yang diterimanya itu menjadi titik tolak perjuangan dan sumbangannya di peringkat domestik da global.
“Saya gembira dan terharu kerana USM telahpun memberikan anugerah yang bukan hanya untuk saya tetapi untuk semua yang terlibat dalam perjalanan hidup saya dari Kuala Pilah sampailah ke New York, ke Geneva, datang ke Kuala Lumpur dan datang balik ke Kuala Lumpur.
“Ini bukanlah untuk dijadikan diri saya sebagai contoh, tetapi semangat perjuangan itu perlu diteruskan oleh graduan-graduan yang baru masuk dan yang baru keluar universiti.
“Bila saya melihat kepada motto USM iaitu memimpin, itu sebabnya saya memilih lima ciri kepimpinan yang saya sendiri alami, yang saya sendiri gubah, bukannya kerana daripada buku, itu adalah pengalaman hidup saya selama 40 tahun sebagai penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas selesai Sidang 1, Upacara Konvokesyen Ke-63 USM di sini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, dunia hari ini berubah dengan pantas dan luar biasa apabila pada tahun 2025 sejarah telah menyaksikan buat pertama kali manusia lebih ramai tinggal di bandar berbanding kawasan luar bandar.
“Ketika anda membina masa depan di Malaysia yang semakin urban dan dinamik, jangan sesekali lupakan amanah terhadap masyarakat. Suara tindakan dan keberanian anda akan menentukan hala tuju negara.
“Tuntutlah kepimpinan yang bertindak, bukan sekadar memukau dengan kata-kata. Kita melihat ramai yang pandai berjanji, tetapi sedikit yang menunaikannya.
“Hari ini, masyarakat tidak mahukan slogan, mereka mahukan kejujuran, integriti dan tindakan yang membawa perubahan,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa agar menjadi generasi yang berani menuntut kebenaran dan tidak gentar mempersoalkan yang salah. – KOSMO! ONLINE















