SEPANG – Seorang penjenayah maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis di Batu 8, Jalan Banting–Dengkil, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 8.10 malam itu berlaku ketika sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang melakukan operasi membanteras kegiatan samun di sekitar Banting, Dengkil dan Sepang.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, pasukan operasi terserempak sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Ketika pasukan serbuan cuba menahan, suspek tiba-tiba melepaskan tembakan dari dalam kenderaan ke arah anggota polis. Pasukan polis terpaksa membalas tembakan sehingga tiada ancaman keselamatan.
“Suspek, seorang lelaki tempatan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut polis menemui sepucuk pistol Colt .45, tiga butir peluru jenama Kynoch kaliber.45. serta tujuh paket plastik lutsinar berisi serbuk kristal disyaki dadah di dalam kenderaan suspek.
Tambahnya, siasatan lanjut kini sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE















