BENTONG – Seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga Indonesia yang mayatnya ditemukan di bawah pelepah sawit di sebuah ladang sawit di Telemong di sini baru-baru ini.
Tertuduh Rogianus Bau, 22 mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar namun tiada pengakuan direkodkan.
Menurut kertas pertuduhan tertuduh pada pukul 6.30 petang antara 9 Oktober hingga 21 Oktober lalu di Ladang kelapa sawit Batu 19 Jalan Telemong di sini telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Dian Susanti.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati atau hukuman penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, jika tidak dihukum mati tertuduh hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada jaminan ditawarkan oleh pihak pendakwaan memandangkan kes membabitkan Seksyen 302 tidak membenarkan sebarang ikat jamin.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan analisis asid deosiribonukleik (DNA).
Sementara itu terdahulu tertuduh turut didakwa berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen sah mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63. Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan, bermula tarikh ditangkap. – KOSMO! ONLINE















