PETALING JAYA – Jemaah haji, Asmah Mansor yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Saudi German di Mekah sejak 13 September lalu selamat tiba di tanah air malam tadi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, wanita itu selamat mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada pukul 8.15 malam.
“Alhamdulillah, satu perjalanan panjang yang akhirnya pulang ke pangkuan tanah air. Hajah Asmah tiba ke Malaysia selepas menaiki Air Ambulance dari Jeddah, sebuah penerbangan hampir 10 jam yang bukan mudah untuk kondisi kesihatan beliau.
“Pesawat berlepas pada pukul 4.30 pagi (waktu Arab Saudi) berhenti seketika di Nagpur pada pukul 10.40 pagi (waktu India) sebelum kembali terbang sejam kemudian,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Menurt beliau, Asmah kemudian dibawa menaiki ambulans ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.
“Kini, Hajah Asmah ditempatkan di ICU Hospital Putrajaya. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh pasukan perubatan Hospital Putrajaya yang bersedia menerima dan merawat beliau dengan penuh profesionalisme dan kasih insan,” katanya.
Sebelum ini, misi membawa pulang Asmah yang dirawat di Mekah akibat pneumonia dimulakan selepas jumlah kutipan bagi membiayai kos sebanyak RM500,000 sudah mencukupi. – KOSMO! ONLINE















