BANGKOK – Seorang wanita di Phitsanulok, Thailand mencetuskan huru-hara apabila mengetuk dari dalam keranda sebelum upacara membakar jasadnya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Beberapa kakitangan sebuah tokong mendengar bunyi ketukan itu ketika mereka mengalihkan keranda untuk upacara pembakaran tersebut.
Apabila keranda dibuka, mereka terkejut melihat wanita tersebut, Chontirot Sakulku, 65, masih hidup dan bernafas dalam keadaan perlahan. Dia segera dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan.
Doktor mengesahkan bahawa Chontirot tidak menunjukkan tanda-tanda dia berhenti bernafas. Gejalanya sepadan dengan hipoglisemia, iaitu keadaan di mana paras gula dalam darah berada di bawah paras normal.
Adik lelakinya, Mongkon Sakulku, memberitahu bahawa Chontirot meninggal dunia sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan) ketika dia tidak sedarkan diri di rumah mereka.
Selepas menganggap dia meninggal dunia, Mongkon memberitahu ketua kampung dan mendapatkan sijil kematian serta meletakkan ‘jasad’ Chontirot di dalam keranda. – AGENSI














