IPOH – Empat lokasi pusat peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipindahkan ke lokasi lain ekoran bencana banjir dan kejadian tanah runtuh yang melibatkan tiga negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, lokasi itu melibatkan calon SPM di Sekolah Menengah Ugama (SMU) Nurul Huda Kajang Sebidang Tempat yang berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Faliah, Tumpat, Kelantan.
“Dua lagi di daerah Kulim Bandar Baharu iaitu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lunas dan SMK Padang Serai yang tempat alternatif adalah di SMK Datuk Lela Pahlawan.
“Saya difahamkan pagi tadi oleh pengarah negeri (Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar) satu kes di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Pangkor yang melibatkan calon terkesan seramai 20 orang.
“Pusat alternatif telah pun dibuka di SMK Pangkor dan ini disebabkan oleh kejadian tanah runtuh bukannya banjir,” katanya pada sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Chulan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan negeri, Zulkafli Mohamed Mokhtar memaklumkan, seramai 31,704 calon peperiksaan SPM di negeri ini.
Katanya, ia turut merangkumi 134 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) dan 1,577 calon bersendirian. – KOSMO! ONLINE















