BUKIT KAYU HITAM – Rakyat Malaysia yang terkandas di Hatyai, Thailand semakin bimbang apabila tiada operasi menyelamat dilakukan pihak berkuasa negara jiran di kawasan hotel tempat mereka menginap setakat ini.
Menurut Pengurus Besar Cuti Cuti Langkawi Sdn. Bhd., Dr. Baharin Baharom, paras air terus meningkat berikutan hujan lebat berterusan sehingga menenggelamkan aras bawah rumah kedai di kawasan tersebut.
“Setakat ini, tidak kelihatan sebarang kerja menyelamat oleh pihak berkuasa Thailand di sekitar hotel ini. Rakyat Thailand terputus bekalan elektrik, air dan talian telefon. Sejak semalam mereka hanya mampu menjerit meminta tolong apabila nampak helikopter berlegar-legar,” katanya yang turut terkandas di Hotel Paradise.
Menurutnya, lobi hotel dan bahagian dapur ditenggelami air sehingga pihak hotel terpaksa melakukan kerja-kerja memasak di ruangan aras bumbung.
“Pihak hotel dan rakyat Malaysia bekerjasama menyediakan makanan kepada semua mangsa yang terkandas,” ujarnya.
Tambahnya, selain bekalan makanan, mangsa yang terperangkap turut memerlukan ubat-ubatan khususnya darah tinggi dan jantung. Antara yang terkandas di hotel tersebut kira-kira 40 warga emas daripada Kelab Warga Emas Pontian, Johor. – KOSMO! ONLINE















