KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini diberitahu wanita warga emas yang juga ahli GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengemukakan representasi kali kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengkaji semula pertuduhan memiliki 38 bahan penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam yang dihadapinya, tahun lepas.
Dalam prosiding hari ini, peguam Boestamam Ahmad yang mewakili Aishah Bula Tajudin, 61, memaklumkan bahawa pihaknya telah mengemukakan representasi berkenaan dan memohon supaya tarikh perbicaraan pada hari ini dan esok dilapangkan.
“Pihak kami (pembelaan) telah memasukkan sekali lagi representasi kepada AGC untuk mengkaji semula pertuduhan dalam kes ini. Oleh itu, kami (pihak pembelaan) memohon penangguhan (perbicaraan) pada tarik-tarikh berkenaan, bagi membolehkan AGC mengkaji semula pertuduhan yang dihadapi tertuduh,” katanya.
Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Randhawa berkata pihak pendakwaan tidak membantah permohonan peguam untuk menangguhkan perbicaraan kes itu.
“Representasi berkenaan masih lagi dalam pertimbangan dan kajian. Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya tarikh sebutan kes ditetapkan untuk memaklumkan keputusan representasi tersebut,” kata Amritpreet Kaur.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan menetapkan 22 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes dan status representasi kedua tersebut.
Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 2 dan 3 April 2026 bagi perbicaraan kes.
Sementara itu Boestamam ketika ditemui selepas prosiding berkata, representasi kedua itu dihantar kepada AGC pada 20 November lalu selepas representasi pertama ditolak pada Disember tahun lepas.
Mengikut pertuduhan, Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad At-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang” dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab yang munasabah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields di sini, pukul 11.30 pagi, 21 September 2024 mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














