fbpx
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Canselor UniMAP meraikan tujuh graduan program Sulung sempena Istiadat Konvokesyen 20 universiti itu di Arau. – Foto oleh IZLIZAN OTHMAN

UniMAP rai tujuh graduan program Sulung, bantu anak keluarga B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan detik bersejarah apabila tujuh graduan pertama program bantuan Sulung menerima skrol sempena Istiadat Konvokesyen 20 yang bermula kelmarin.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diwujudkan khusus untuk menyokong anak sulung daripada keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian ke menara gading.

“Program Sulung memberi sokongan menyeluruh merangkumi bantuan yuran, penginapan dan bimbingan akademik sepanjang pengajian mereka di universiti ini.

“Semua kemudahan ini memastikan pelajar dapat fokus kepada pencapaian akademik tanpa terbeban masalah kewa­ngan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, usaha itu selari dengan matlamat kerajaan memastikan akses pendidikan tinggi kekal inklusif dan merata tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Katanya, kejayaan tujuh gra­duan Sulung itu membuktikan kemampuan pelajar bukan ditentukan keadaan ekonomi, tetapi peluang dan sokongan konsisten.

“Program Sulung turut membina keyakinan diri melalui komuniti pembelajaran positif dan peluang pembangunan insaniah. Matlamat kita untuk melahirkan graduan berdaya saing yang ak­hirnya mampu mengubah taraf hidup dan masa depan keluarga mereka,” ujarnya.

Jelasnya, UniMAP komited memperluas pelaksanaan program itu pada masa hadapan se­iring aspirasi KPT meningkatkan mobiliti sosial melalui pendidikan.

“Kesemua graduan tersebut memperoleh purata nilai gred kumulatif melebihi 3.30. Enam daripada mereka ditawarkan pekerjaan sebelum istiadat konvokesyen berlangsung.

“Kejayaan ini sekali lagi mengu­kuhkan peranan pendidikan tinggi sebagai pemacu perubahan dan platform penting bagi mening­katkan mobiliti sosial keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya.

Sementara itu, penerima bantuan program Sulung, Wee Kim Hou dari Fakulti Perniagaan dan Komunikasi UniMAP berjaya meraih Kelas Pertama.

“Saya bersyukur kerana prog­ram Sulung benar-benar me­ringankan beban keluarga dan membolehkan saya fokus sepenuhya terhadap pelajaran. Saya harap lebih ramai pelajar mendapat manfaat daripada program ini pada masa hadapan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN