fbpx
Wan Nur Hidayah sebak sewaktu mencerita momen terakhir bersama Allahyarham Wan Adlin ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Tun Abdul Razak, UKM di Bangi hari ini. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/ KOSMO!

‘Sedar-sedar Alin sudah tercampak keluar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – “(Sebaik) Saya sedar saja, orang sudah ramai, nampak arwah sudah tercampak keluar. Ada kain tutup wajah arwah.”

Demikian cerita ibu saudara Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim iaitu Wan Nur Hidayah Wan Muhammad yang masih terkejut dengan nahas yang meragut nyawa gadis berusia 23 tahun itu minggu lalu.

Menurut Wan Nur Hidayah, 42, hari kejadian merupakan detik gembira arwah kerana baru selesai merakam gambar pra konvokesyen bersama adik dan sepupunya sebelum menghadiri konvokesyen di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dijadualkan hari ini.

“Saya bersama rakan serumah, adik dan sepupu arwah bergambar. Dia (arwah) sangat happy (gembira) suka gelak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen ke-53 di Dewan Tun Abdul Razak UKM di sini hari ini.

Katanya, ketika dalam perjalanan pulang ke Mentakab, Pahang selepas selesai sesi bergambar, buat pertama kali gadis itu meminta supaya semua foto dimasukkan ke dalam Google Drive.

“Itulah ayat terakhirnya kepada saya kira-kira 15 minit sebelum kejadian (kemalangan) berlaku,” katanya.

Wan Nur Hidayah berkata, dia sempat menukar kenderaan dengan abangnya kerana bilangan penumpang yang ramai dan arwah duduk di belakang kerusi pemandu.

“Sebelum kemalangan, saya nampak ada dua kereta berlumba dari depan. Saya sempat sebut, ‘Kenapalah nak berlumba di sini?’. Tiba-tiba sebuah kereta jatuh ke bahu jalan dan menghala ke arah kami.

“Saya cuba mengelak ke tepi, tapi ia menghentam sisi kanan kereta. Bila saya buka mata, bomba, polis…semua dah ada. Saya tak boleh bernafas dan hanya sebut ‘Allah… Allah…’,” katanya.

Dalam keadaan separuh sedar, dia terdengar adik arwah, Wan Anisah Farhah, 22, bertanyakan tentang keberadaan arwah.

“Saya tengok arwah sudah terbaring, elok ditutup. Tudung tidak terselak aurat terjaga. Baju pun tidak terusik. Saya kuatkan diri keluar kereta dari pintu penumpang dan pangku Alin. Saya rasa (nadi) tak ada. Kepala dia lembut, hentakan kuat di bahagian belakang kepala membuatkan banyak darah,” katanya.

Arwah Wan Adlin meninggal dunia dalam nahas membabitkan dua buah kereta di Kilometer 126, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan berdekatan simpang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada 15 November lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI