KUCHING – Kerajaan Sarawak menaikkan kadar bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) daripada RM800 kepada RM950 pada tahun depan, bagi isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kadar baharu bantuan itu akan diagihkan setiap empat bulan sekali dengan setiap penerima isi rumah menerima RM316 bagi satu pembayaran.
“Tahun ini, SKAS telah dilaksanakan dengan jayanya, memberikan bantuan tahunan antara RM250 hingga RM800 kepada rakyat Sarawak yang layak, dengan peruntukan RM557 juta, memberi manfaat kepada lebih 1.03 juta penerima.
“Hari ini, saya mengumumkan bahawa Kerajaan GPS akan menaikkan kadar bantuan ini bagi mencerminkan keperluan rakyat serta membantu mereka menghadapi kos sara hidup.
“Langkah ini bagi memastikan mereka sentiasa mempunyai makanan di atas meja,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sarawak 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang ke-19, di sini hari ini.
Menjelas lanjut, Abang Johari berkata warga emas yang tiada pasangan atau anak dengan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah akan menerima kenaikan RM100, daripada RM400 kepada RM500 dan setiap pembayaran, penerima akan menerima RM166.
Manakala, katanya individu bujang berpendapatan RM2,500 dan ke bawah akan menerima peningkatan RM50, menjadikan jumlah bantuan meningkat daripada RM250 kepada RM300. – KOSMO! ONLINE















