fbpx
GAMBAR HIASAN/ZULFACHRI ZULKIFLI

Pasukan teknikal JKR digerak ke semua lokasi terjejas – Alexander

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menggerakkan pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) ke semua lokasi terjejas akibat Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Monsun Timur Laut merupakan cabaran tahunan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan kerajaan akibat perubahan cuaca.

“Sejurus menerima maklumat kejadian, KKR telah menggerakkan pasukan teknikal JKR ke semua lokasi terjejas untuk menilai keselamatan dan melaksanakan pembaikan segera terhadap infrastruktur kritikal seperti jalan, saliran dan cerun.

“Laluan yang dikenal pasti berisiko tinggi ditutup sementara bagi mengelakkan sebarang kecelakaan, manakala pemantauan 24 jam dijalankan di zon berisiko,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Alexande merakamkan rasa simpati dan keprihatinan terhadap orang ramai yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh.

Kata beliau, sehingga pukul 3.30 petang tadi, lebih 13,000 mangsa banjir direkodkan di lapan negeri dengan Kelantan menjadi negeri paling terjejas melibatkan lebih 9,000 orang yang kini berlindung di pusat pemindahan sementara.

Selain itu, kata beliau, beberapa kejadian tanah runtuh turut dilaporkan termasuk insiden berhampiran pangsapuri di Jalan Sepadu 6, Taman United, Seputeh, Kuala Lumpur.

Alexander berkata, beliau telah mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawah KKR untuk melipatgandakan pemantauan dan meningkatkan kehadiran di lapangan.

Jelas beliau, langkah itu bagi mendapatkan maklumat situasi terkini serta memastikan maklumat rasmi disampaikan kepada rakyat dengan pantas.

“KKR bersama kerajaan negeri dan agensi berkaitan sedang bekerja keras demi keselamatan rakyat. Saya akan pastikan perkembangan kerja dan pemantauan disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI