SHAH ALAM – Tekad seorang anak muda bertapak secara kecil-kecilan di kawasan pekarangan rumah mengoperasikan bengkel membaiki kereta, dengan sasaran pendapatan sekitar RM2,000 sebulan seperti mana yang diperoleh ketika makan gaji sebagai juruteknik di sebuah syarikat permotoran utama di negara nyata berbaloi.
Pengasas Mae Garage Sdn. Bhd. (Mae Garage), Ismail Ibrahim, 36, tidak bercita-cita tinggi ketika itu, hanya mahu menjana hasil seperti mana sewaktu bekerja selama tiga tahun di syarikat tersebut untuk menampung keperluan diri sendiri dan keluarga.
“Jika dahulu, gaji masuk akhir bulan sekitar RM2,000 dan saya tidak risau dengan perbelanjaan bulanan, tetapi bila sudah bekerja sendiri saya perlu berusaha untuk dapatkan hasil pada kadar yang sama untuk meneruskan kelangsungan hidup.
“Namun setelah saya terjun dalam bidang bisnes, selain mendapat kepuasan melayan keperluan pelanggan mengikut masa sendiri tanpa tekanan, saya berjaya memperoleh pendapatan RM2,000 dalam hanya 15 hari dengan berada di bengkel sekitar dua hingga tiga jam sehari.
“Hal ini membuka mata dan minda saya untuk terus fokus kepada bisnes berpotensi ini,” katanya ketika ditemui di pejabatnya yang telah ditambah baik di sini, baru-baru ini.

Berbekalkan modal pinjaman daripada keluarga sebanyak RM20,000, lelaki berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini meneruskan usaha dengan menambah baik pengoperasian bengkel untuk menawarkan perkhidmatan pembaikan kenderaan hingga ke rumah pelanggan dan juga ke pejabat.
Graduan lulusan program automotif dari Sekolah Teknik Vokasional Pengkalan Chepa, Kelantan dan Akademi Saga di Shah Alam itu memanfaatkan kemahiran dan pengalaman yang dimilikinya untuk menawarkan servis terbaik kepada para pelanggan.
Tanpa bantuan pekerja lain, dia melaksanakan kerja-kerja pembaikan asas untuk semua jenis kenderaan dengan harga serendah RM180, bergantung kepada kerosakan yang dialami.
Pada masa sama, Ismail agresif membuat kerja-kerja pemasaran menerusi jenama Mae Garage selain menghadiri bengkel pemasaran dan pengurusan perniagaan bagi memantapkan diri untuk berdepan dengan segala cabaran pada masa depan.
“Saya pernah dipandang sinis oleh rakan-rakan niaga lain yang telah lama bertapak dalam industri automotif kerana menceburkan diri dalam kelas pemasaran dan juga media sosial, tetapi persepsi mereka sebenarnya salah kerana saya semakin berkeyakinan untuk meneruskan cara dan model bisnes saya.
“Impaknya, saya dapat lihat perubahan ketara dalam bidang pengurusan kewangan, pentadbiran dan juga pemasaran serta layanan kepada pelanggan.
“Malah platform media sosial juga memberi peluang kepada saya untuk meningkat kesedaran masyarakat tentang kenderaan, masalah, penjagaan dan cara menyelenggara yang betul,” jelasnya.

Usaha gigih Ismail berbaloi apabila dia berjaya memperbesarkan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah untuk berpindah ke bengkel di sebuah zon perindustrian di sini yang mampu menawarkan perkhidmatan sehenti termasuk servis penyelenggaraan dan baik pulih.
Meningkatkan lagi daya saing dan imej syarikat, pelanggan yang menunggu kenderaan masing-masing boleh berehat di ruang selesa dengan rekaan dalaman tersendiri.
Empayar perniagaannya kini disokong oleh kakitangan berdedikasi termasuk lapan mekanik berpengalaman, ada yang sudah bertapak dalam dunia automotif selama selama 20 tahun.
Lebih menarik, isterinya Anis Ramziah, 37, turut membantu dalam aspek pengurusan sumber manusia, kewangan dan pentadbiran yang menjadi penguat semangat untuknya menerajui bisnes yang sudah berusia 10 tahun itu.
Rezeki yang semakin bertambah pula membolehkan Ismail menyewa satu lagi lot niaga bersebelahan untuk dijadikan pusat pembaikan dan servis penghawa dingin kenderaan bagi memenuhi peningkatan permintaan.
Fasiliti tersebut melengkapkan lagi kemudahan Mae Garage, selain dapat menawarkan khidmat untuk latihan praktikal kepada pelajar daripada institusi pendidikan tinggi bagi membolehkan mereka mempelajari sendiri pengalaman di tempat kerja.
Ditanya mengenai pelan perancangan masa depan syarikat, Ismail berkata, dia kini mencari lokasi terbaik untuk membuka cawangan baharu di Bangi, tahun depan.















