fbpx
Kian Keow bersama peguamnya ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.

Jurulatih wushu negara nafi amang seksual pelatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Bekas jurulatih wushu negara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, empat tahun lalu.

Tertuduh, Chia Kian Keow, 49, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, Kian Keow sebagai jurulatih telah melakukan amang seksual fizikal terhadap pelatihnya sendiri yang ketika itu berusia 14 tahun tujuh bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 5.30 petang, 16 Mei 2021 di sebuah pusat latihan wushu di Batu Caves dekat sini.

Bagi pertuduhan kedua, Kian Keow didakwa telah mengulangi perbuatannya terhadap mangsa sama yang ketika itu berusia 15 tahun tiga bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat sama, pada pukul 5.30 petang, sekitar Mac 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Hukuman bagi Seksyen 14 (a) adalah penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16 (1) memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan maksimum dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.

Selain itu, Muhammad Hairul memohon Kian Keow menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, melapor diri ke balai polis terdekat sebulan sekali dan tidak melakukan kacau ganggu terhadap mangsa dan saksi-saksi pendakwaan.

Namun, peguam bela, Sivahnanthan Ragava memohon jumlah ikat jamin yang lebih rendah dengan alasan tertuduh sedang menjaga ibunya yang uzur dan sakit teruk.

“Anak guam saya tidak mampu membayar jaminan yang tinggi kerana dia sendiri mempunya masalah kesihatan. Hari ini, tertuduh datang sendiri tanpa perlu dibawa oleh pihak polis. Oleh itu, saya mohon jaminan minimum untuk anak guam saya,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM7,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan sebagaimana yang dimohon pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 24 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI