JAKARTA – Isteri seorang pegawai kerajaan yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Penduduk dan Pendaftaran Sivil daerah Gresik, wilayah Jawa Timur mendesak supaya kekasih gelap suaminya dipecat serta-merta selepas mendapat tahu kecurangan mereka di tempat kerja, lapor laman berita Radar Gresik semalam.
Wanita yang hanya dikenali sebagai D menggesa supaya bahagian Pembangunan Sumber Manusia dan Kakitangan jabatan itu mengambil tindakan tegas terhadap rakan sekerja suaminya itu yang dikenali sebagai U.
“Saya mendesak supaya U dipecat selepas suami saya mengundur diri (berhenti kerja) terlebih dahulu,” katanya.
Menurut D, selama kedua-dua rakan sekerja itu menjalin hubungan sejak 2023, suaminya yang dikenali sebagai A, telah memberikan pelbagai hadiah kepada U.
Ia termasuk wang tunai, sebuah motosikal serta sebetuk cincin bernilai 2 juta rupiah (RM500).
“U juga pernah meminta semua duit gaji suami dipindahkan kepadanya. Dia juga meminta suami saya mengahwininya,” kata D.
Kedua-dua motosikal dan cincin bagaimanapun telah dikembalikan kepada A.
Sementara itu, Ketua Agensi Penduduk dan Pendaftaran Sivil Kabupaten Gresik, Hari Syawaluddin mengesahkan bahawa pejabatnya sedang menyiasat laporan tersebut dengan menjalankan siasatan dalaman terhadap A dan U.
“Kami telah memanggil kedua-dua mereka untuk disoal siasat. Kami juga telah menasihati mereka untuk kembali kepada keluarga masing-masing,” katanya. – AGENSI















